Its Marvelous Function

Nama “Thermomix” kini sedang menjadi bualan hangat di laman sosial terutamanya di Facebook oleh kebanyakan kaum wanita.

Ini kerana mesin ajaib ini dikatakan dapat memudahkan kerja-kerja di dapur tetapi hanya mereka yang lebih daripada berkemampuan sahaja dapat memilikinya.

Perlu diketahui Thermomix mempunyai beberapa model dan yang terbaru TM6 yang kini semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Tidak mengejutkan mengapa mesin inovatif ini mendapat tumpuan dan permintaan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlalu sibuk dengan urusan lain dan tidak mempunyai masa untuk memasak.

Dipasarkan sebagai mesin yang akan menggabungkan kesemua peralatan memasak menjadi satu peranti tunggal, secara teorinya Thermomix dapat menjimatkan pembelian alatan memasak yang lain serta dapat menjimatkan ruang di dapur anda.

Mesin ajaib ini bukan sahaja mampu memasak, ia juga boleh mengisar, mengukus, memotong, menguli, menimbang dan banyak lagi fungsi berguna yang lain.

Tak dapat dinafikan Thermomix sebuah mesin yang sangat berkualiti, namun kesemua ini datang dengan harga yang boleh membuatkan anda hanya mampu bermimpi sahaja.

Asal-usul dan sejarah Thermomix

Thermomix perkakas dapur keluaran Kumpulan Korporat Vorwerk, sebuah kumpulan korporat antarabangsa yang berpangkalan di Wuppertal, Jerman.

Perniagaan utama kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1883 ini pengedaran pelbagai produk secara langsung seperti perkakas rumah, dapur pasang dan juga kosmetik.

Nama Thermomix hasil gabungan “thermo” yang bermaksud pemanasan dan juga “mix” (mixing) iaitu pencampuran.

Model Thermomix pertama dikeluarkan pada tahun 1961 dan kini mempunyai 10 model secara keseluruhan, iaitu:

Mereka yang tidak menyukai Thermy (nama manja Thermomix) akan mengatakan harganya yang melebihi RM7,000 untuk mesin sekecil ini sebagai sangat tidak berbaloi.

Walaupun anda boleh membayar secara ansuran, namun anda tetap perlu membayar dengan harga tinggi yang mungkin tidak digunakan dengan kerap selepas membelinya.

Bagaimanapun, anda sebenarnya membayar untuk kualiti.

Selain daripada kerosakan produk yang biasa berlaku terhadap Thermomix (sentiasa terdapat sebilangan kecil pembeli yang menerima Thermomix yang rosak), ramai yang merungut dengan mengatakan mesin ini memusnahkan rasa nikmat dan keseronokan memasak.

Namun bagi pengeluar Thermomix mengatakan dengan menghasilkan makanan daripada bahan mentah, seperti roti, tepung dan yogurt, anda akan menjimatkan wang secara automatik.

Malah, dengan penilaian kecekapan tenaga yang dimiliki oleh mesin ini dikatakan dapat menjimatkan kos elektrik anda.

Kebolehgunaan dan keberkesanan Thermomix

Jadi, betapa mudahnya untuk menggunakan Thermomix dan bagaimana anda boleh menjadi “tukang masak terbaik” dalam keluarga anda?

Hakikat Thermomix yang sangat mahal ini mempunyai perunding sendiri membuktikan betapa rumitnya mesin ini.

Perunding tersebut akan datang ke rumah anda untuk membantu anda memasang dan mencuba berjuta-juta resipi daripada buku memasak yang mereka sediakan.

Dengan keupayaan mesin yang kelihatan seperti tiada had, mungkin ramai di antara kita yang akan terkesima.

Mereka yang tidak bersetuju dengan mesin ini juga menyatakan bahawa Thermy menghasilkan makanan yang “kurang rasa”.

Dan bagi penyokong Thermy, mereka dapat menyediakan makanan yang sedap dan sihat untuk keluarga dengan hanya mencampakkan semua bahan-bahan ke dalamnya lalu menekan butang “mula” membuatkan mereka terjerumus dalam dunia Thermomix.

Model Thermomix pertama dikeluarkan pada tahun 1961 dan kini mempunyai 10 model secara keseluruhan. (Gambar Instagram)

Kelebihan dan fungsi Thermomix

Thermomix mendakwa menggabungkan fungsi 12 peralatan yang berbeza dalam satu mesin iaitu menimbang, mencampurkan, memotong, mengisar, menguli, mengadun, mengukus, memasak, memukul, pemanasan tepat, mengacau dan mengemulsi.

Dan dengan menjadi pengganti kebanyakan alatan memasak, mesin ini membuatkan dapur anda kelihatan lebih kemas kerana kurang menggunakan peralatan konvensional.

Dengan memiliki Thermomix, resipi-resipi yang anda tak pernah dengar sebelum ini kerana kelihatan seperti terlalu sukar untuk dihasilkan kini bertukar menjadi mudah dan seronok.

Di dalamnya terdapat lebih daripada 55,000 resepi dari seluruh dunia, hanya di hujung jari.

Masakan-masakan yang mana sebelum ini mengambil masa berjam-jam untuk dihasilkan dapat dihasilkan dengan hanya menekan beberapa butang sahaja.

Selain itu ia juga mempunyai fungsi “self-cleaning” di mana anda tidak perlu mencucinya.

Mesin ini juga mendorong pemakanan yang sihat kerana ia menggalakkan anda memasak dengan bahan-bahan sebenar.

Anda boleh meninggalkan Thermomix untuk memasak pelbagai jenis resepi dan ia akan menunggu anda kembali tanpa membuatkan makanan anda hangus, ini memudahkan kerja jika anda mempunyai anak kecil yang perlu diuruskan.

Malah, anda boleh menyediakan makanan dengan hanya menggunakan satu mangkuk pengadun yang disediakan, jadi anda tidak perlu membasuh pinggan atau mangkuk tambahan.

Tak cukup dengan itu, Thermomix sangat bagus untuk orang yang mengalami alahan atau intoleransi makanan kerana anda boleh menggantikan bahan-bahan dan mencipta alternatif anda sendiri.

Antara perkara-perkara yang mampu dilakukan oleh Thermomix:

Kekurangan Thermomix

Walaupun Thermomix peralatan dapur yang sangat menakjubkan, namun ia tidak mampu melakukan segala-galanya.

Jika anda terlalu bergantung kepada mesin ini, anda akan mengalami kesukaran sekiranya berlaku gangguan elektrik di mana Thermomix hanya menjadi “besi buruk”.

Selain itu, harganya yang mahal tidak mampu menjanjikan Thermomix dapat digunakan mana-mana lokasi yang tidak mempunyai soket elektrik.

Antara perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh mesin ini termasuklah:

Anugerah Thermomix

Pada tahun 2014, Vorwerk dianugerahkan “Anugerah Shonky” yang sangat penting oleh advokat pengguna Australia iaitu CHOICE, bagi “pelancaran model barunya”.

Pada tahun 2016, model TM5 dinilai dengan 4 daripada 5 bintang oleh C|Net dan menerima ulasan positif dari Wired.